Salam Ya Hamim


Kahwin


Jan 29

Berikut disenaraikan kata “kahwin” dalam ungkapan Melayu

Kahwin-mawin maksudnya berbagai-bagai jenis kera­maian perkahwinan.

Kahwin lari maksudnya perkahwinan (pernikahan) pasangan lelaki dengan wanita (biasanya suka sama suka) yang dilakukan di tempat lain tanpa disaksikan ataupun direstui oleh kaum keluarga.

Kahwin gantung maksudnya kahwin atau nikah yang sudah sah di sisi agama tetapi kedua-dua suami isteri belum tinggal bersama.

Kahwin andar maksudnya kahwin dengan seseorang dengan tidak mengeluarkan apa-apa belanja.

Kahwin paksa maksudnya kahwin tidak dengan suka hati sendiri (kerana desakan, ugutan, dan lain-lain).

Cincin kahwin maksudnya cincin yang diberikan oleh suami kepada isteri pada waktu perkahwinan.

Hantaran kahwin maksudnya wang yang dihantar oleh pihak lelaki kepada bakal mentua bagi perbelanjaan perkahwinan, belan­ja hangus.

Mas kahwin maksudnya pemberian wajib yang berupa wang, al-Quran dan sebagainya oleh pengantin lelaki kepada pe­ngantin perempuan semasa upacara akad nikah, mahar.

Yahamim: Mahu kahwin sukarela.

Comments (3)

Pesan Bestari


Jan 29

Air kalau jernih di hulu pasti jernih di kuala.

Hujung akal itu fikir, pangkal agama itu zikir-Hamka.

Yahamim: Fikir guna akal.

Comments (0)

Kaparinyo


Jan 27

Kata ‘kaparinyo‘ bermaksud apa khabarnya. Kata ini adalah kata dalam bahasa Minangkabau.

Orang berinai berhitam kuku,
Mandi dijirus si air mawar;
Jikalau sampai hasrat hatiku,
Racun ku minum jadi penawar.

Belum tersurat dalam hikayat,
Ayam keluar mencari musang;
Belum tersirat di dalam adat,
Bunga keluar mencari kumbang.

Semenjak lembah bertambah dalam,
Nampaknya gunung tinggi bertuah;
Semenjak sejarah Hawa dan Adam,
Alam berkembang berubah-ubah.

Hasrat nak beli dulang bertepi,
Barulah molek untuk hidangan;
Hajat nak cari yang sama sehati,
Barulah molek makan sepinggan.

Sungguhlah harum si bunga tanjung,
Hati nak petik si bunga mawar;
Rindu dan dendam tidak tertanggung,
Budi setitik jadi penawar.

Sungguh melati senang dipetik,
Harumnya mashyur seluruh alam;
Sungguhpun budi hanya setitik,
Langit dan bumi ada di dalam.

Yahamim: Sihat selalu.

Comments (3)

Seri di Wajah Cikgu Ha


Jan 25

Agak lama penulis tidak berkongsi cerita tentang Cikgu Ha kepada para pembaca sekelian. Masih ingat pada Cikgu Ha? Alah, bekas cikgu tuisyen yang wajahnya cantik tidak tetapi manisnya ada (dialog P. Ramlee). Penulis memang suka mengusik Cikgu Ha tentang pasangan hidup dan jodoh. Dengarnya ada berita hangat tentang Cikgu Ha. Berita apakah itu?

Penulis sempat mengusik Cikgu Ha, “Dengarnya ‘darah manis’, betulkah?”

Reaksi Cikgu Ha macam biasa, mengulum senyum bergula (kali ini senyum bermadu). Cikgu Ha memang kalis provokasi.

Penulis cucuk jarum lagi, “Dengarnya sekarang sedang sibuk membeli itu ini, sibuk ke sana dan ke sini. Ada perkara besar agaknya.”

Cikgu masih senyum bergula. Penulis rasa mahu cubit-cubit Cikgu Ha kerana geram soalan yang tidak berjawab. Teringin juga penulis menggigit lehernya bak drakula, penulis mahu tahu benarkah darah Cikgu Ha manis bagai dikata.

Akhirnya Cikgu Ha bersuara, “Tanyalah Ucuk. Dia tahu semuanya.”

Berpinar-pinar kepala penulis. “Siapa Ucuk?”

Jeng jeng jeng.

Yahamim: Mula mencari siapa Ucuk.

Comments (3)

Tidak Setuju Dengan “Ulat Buku”


Jan 06

Ada pencinta buku yang tidak setuju dengan simpulan bahasa “ulat buku” yang bermaksud orang yang gemar membaca. Mungkin dalam kepala beliau terganggu dengan istilah “ulat” yang kebanyakannya negatif.

- Ulat lupakan daun iaitu lupa akan budi baik orang.

- Bagai melihat ulat iaitu sangat benci. Berulat mata melihat membawa maksud yang sama.

- Korek lubang ulat iaitu mencari perselisihan.

- Menggeletik-geletik bagai ulat nangka iaitu sangat gelisah. Terloncat-loncat bagai ulat pinang juga membawa maksud yang sama.

Mungkin juga perkara yang paling menyakitkan hati beliau adalah ulat tiket yang berleluasa di stesen bas terutamanya pada musim perayaan. Namun masih banyak peribahasa Melayu mengenai “ulat” yang positif.

- Ulat dalam batu pun hidup juga iaitu orang yang rajin berusaha tidak akan mati kelaparan.

- Bagai ulat nangka terhempas ke batu iaitu tidak serik.

- Bagai dekan di bawah pangkal buluh iaitu pandai menyembunyikan rahsia. (dekan = ulat yang makan buluh.)

Yahamim: Tidak lalu makan ulat.

Comments (0)