Lima Persepsi Bias Terhadap Lelaki Bujang
Nov 15
Hidup sebagai lelaki bujang banyak cabarannya. Antara yang saya boleh senaraikan adalah lima persepsi bias terhadap lelaki bujang. Kadang-kadang terasa sakit hati tetapi telan sahajalah. Apabila dilawan semakin sakit hati jadinya.
1. Hidup Lelaki Bujang Tidak Terurus dan Kelam-Kabut
Apabila bangun lambat dan penampilan tidak terurus segera dinasihati, “Kahwinlah cepat.”
Apabila asyik berulang-alik menghantar pakaian ke dobi segera dinasihati, “Kahwinlah cepat.”
Apabila sibuk cari kedai makan kerana lapar segera dinasihati, “Kahwinlah cepat.”
2. Hidup Lelaki Bujang Banyak Masa Lapang
Apabila kita ajak kawan kita keluar untuk tempoh yang lama jawapan mereka mudah, “Kamu bujang, bolehlah.” Jawapan lain pula, “Apabila sudah kahwin, nanti kamu tahulah.”
3. Lelaki Bujang Sentiasa Lapar dan Lahap
Semasa jamuan ataupun kenduri ayat seperti ini pasti keluar, “Orang bujang makan banyak-banyak sikit.” Nasi yang tadinya sedap tiba-tiba rasa kesat pula hendak ditelan. Timbul pertanyaan dalam hati, “Rupa aku nampak seperti orang kelaparankah?”
4. Lelaki Bujang Dipandang Tidak Matang dan Kebudak-budakan
Orang jarang hendak dengar pendapat lelaki bujang. Pendapat mereka secara automatik bertaraf kelas kedua. Mereka dianggap tidak matang sekaligus pendapatnya kebudak-budakan walaupun hakikat kadang-kadang umurnya sudah hampir 40 tahun. Hendak dilantik sebagai wakil masyarakat? Jangan haraplah.
5. Lelaki Bujang Tidak Fikir Masa Hadapan
Ayat pembunuh ini sering hinggap di cuping telinga, “Orang bujang tiada yang difikirkan. Yang dia tahu kerja, makan, tidur. Langsung tidak fikir masa hadapan.” Agaknya orang yang bercakap tidak tahu betapa lelaki bujang itu pecah kepala fikir cara majukan agama, masyarakat dan negara.
Yahamim: Berapa lama lagi membujang?



Akademi Latihan Penerbitan PTS
Puan Ainon Mohd (Sifu PTS)
Irhafiz