Salam Ya Hamim


Cadangan Segmen Belajar Bahasa Jawa


Oct 27

Semasa berbual-bual dengan seorang rakan, saya dikemukakan satu cadangan yang tidak disangka-sangka. Beliau mencadangkan saya menyediakan satu segmen belajar bahasa Jawa di blog ini.

Saya pada mulanya ketawa dengan cadangan itu. Ketawa saya bukan ketawa dengan cadangan beliau tetapi kerana tidak sangka beliau sangat berminat dengan bahasa Jawa.

Kata beliau, “Di Malaysia kaya dengan kepelbagaian bahasa dan loghat. Rugi rasanya jika tidak mengetahuinya walaupun sekadar perkara asas.”

Saya sangat mengambil berat pada cadangan beliau dan sedang memikirkan strategi terbaik mengenainya. Saya juga sangat suka untuk mengetahui pendapat pembaca lain berkenaan cadangan itu.

Yahamim: Kesuwon (terima kasih).

Comments (4)

Tahniah Kepada Sasterawan Negara Ke-10


Oct 23

LOGO_BBK_DBP

Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan atau nama lebih popularnya Anwar Ridhwan hari ini diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-10. 

 

Pemilihan beliau diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sidang media di pejabat di Putrajaya.

Pengumuman menteri pelajaran boleh dianggap sebagai hadiah ulang tahun kelahiran Dr Anwar ke-60 yang baru merayakannya 5 Ogos lalu.

Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu menerima hadiah wang tunai RM60,000, termasuk kemudahan mencipta karya sastera, kemudahan menerbit karya dan kemudahan perubatan percuma kelas satu di hospital kerajaan.

Sebanyak 50,000 naskhah daripada karyanya juga dijamin akan dibeli kerajaan. Karyanya yang sesuai pula akan diterjemah kepada bahasa asing.

Dr Anwar akan menerima anugerah berprestij itu daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 20 Ogos ini di Kuala Lumpur.

Sebagai budayawan yang kritis dan mengolah isu kuasa dalam karyanya, Dr Anwar turut lantang mempertikaikan dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Bekas pengarah penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu yang terkenal dengan novel Naratif Ogonshoto – satira politik yang mengecam kerakusan orang berkuasa.

 

 Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada 2000 melalui novelnya itu turut terkenal dengan novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Arus.

Dr Anwar menghasilkan empat novel, empat kumpulan cerpen, empat drama, sebuah kumpulan sajak dan tiga buku esei. Selain Naratif Ogonshoto dan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, drama Yang Menjelma dan Menghilang diterjemah kepada bahasa asing.

Manakala drama pentasnya pula telah puluhan kali dipentaskan dalam pelbagai majlis.

Lulusan pengajian Melayu Universiti Malaya itu pernah mengikuti program penulisan antarabangsa di Universiti Iowa, Amerika Syarikat pada 1986 dan menjadi profesor pelawat di Tokyo University of Foreign Studies (1997-2000).

Beliau kini bertugas di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sebagai dekan Fakulti Penulisan.

Beliau sebelum ini dikurniakan Anugerah Sastera Perdana pada 2002 yang dianggap anugerah kedua paling berprestij selepas Sasterawan Negara.

Anugerah yang diperkenalan pada 1979 menjadi pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada penggiat sastera bahasa Melayu yang memberi sumbangan cemerlang.

Artikel dipetik dari Malaysiakini.

Yahamim: Bercita-cita mahu menjadi seniman besar.

Comments (1)

Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri


Oct 19

LOGO_BBK_DBP

Pesanan bestari daripada Penditi Za’ba:

“Kekayaan saudagar pada pundi-pundi emasnya, kekayaan pendita pada keping-keping kertasnya.”

Perangai bergantung kepada diri sendiri antara kelebihannya membawa ketinggian umat dan kemajuannya. Apabila orang yang perangainya kuat bergantung kepada kebolehannya sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain untuk menyokongnya, nescaya majulah mereka. Negeri mereka juga maju bersama-samanya. Mereka menjadi besar dan mulia. Bangsa mereka pun naik besar dan mulia dengan sebab mereka itu.

Bangsa terdiri daripada diri tunggal yang banyak. Apabila banyak diri tunggal yang bekerja dengan kuat dan cergas, ini menjadikan bangsa mereka kuat dan cergas pula. Maka jelaslah, diri tunggal tidak kuat kerana bangsa tetapi bangsa kuat kerana diri tunggal yang kuat berusaha.

Yahamim: Berusaha menjadi diri tunggal yang kuat.

Comments (0)

Siapa Ganyang Siapa?


Oct 02

Presiden Indonesia menggesa rakyat memakai batik pada hari ini (2 Oktober) sebagai tanda “kemenangan” terhadap Malaysia berkaitan pertikaian batik. Malaysia pula tidak perlu untuk MENGALAHKAN sesiapa sebaliknya pekerja sektor swasta dan kerajaan khasnya beramai-ramai memakai batik pada setiap khamis tanda cintakan budaya. Siapa ganyang siapa?

Indonesia bersorak-sorai sampai terkinja-kinja apabila menang, semahunya ingin melihat Malaysia mengangis dan makan hati. Malaysia pula memang mengangis di depan TV dan sampai basah surat khabar melihat penderitaan rakyat Indonesia di Sumatera yang dilanda gempa. Siapa ganyang siapa?

Indonesia mengangkat tinggi buluh runcing, ingin menyapu habis rakyat Malaysia. Malaysia pula mengangkat tangan tinggi-tinggi, secara sukarela ingin menyapu air mata mangsa gempa. Siapa ganyang siapa?

“Kemenangan” isu batik disambut Indonesia dengan doa berupa maki hamun kepada Malaysia. Malaysia turut mengangkat tangan memohon doa rakyat Indonesia tidak terus dilanda bencana. Siapa ganyang siapa?

Yahamim: Ganyang makanan semahunya selepas raya.

Comments (2)

Indonesia Isytihar Menang ‘Pertikaian Batik’


Oct 01

Berikut saya siarkan berita yang diambil dari laman Berita Harian online.

JAKARTA: Presiden Indonesia menggesa 234 juta rakyat negara itu memakai batik bagi meraikan kemenangan berhubung hak perebutan warisan kebudayaan dengan negara jiran, Malaysia.

Pertubuhan kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Unesco minggu ini dilaporkan akan meletakkan cara pembuatan batik yang diamalkan Indonesia – membabitkan proses rumit mencelup dengan lilin dan warna – dalam senarai Warisan Kebudayaan Dunia agensi badan dunia itu.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengarahkan seluruh penduduk Indonesia meraikannya pada hari Jumaat ketika ia diisytiharkan secara rasmi dengan mengenakan baju, pakaian, blaus yang dibuat dari batik.

“Saya menggesa rakyat Indonesia di mana-mana juga memakai batik pada 2 Oktober,” kata Yudhoyono yang dipetik oleh agensi berita Antara ketika menghadiri mesyuarat pemimpin dunia G20 di Amerika Syarikat.

Yudhoyono berkata negara itu perlu mengadakan ‘parti batik’ untuk memberitahu dunia bahawa seni berkenaan datangnya dari Indonesia.

Media di sini juga berada dalam suasana kemenangan berikutan keputusan Unesco itu yang dilihat sebagai babak terkini dalam pertikaian dengan Malaysia yang didakwa sebagai ‘mencuri’ segala-galanya dari batik hingga tarian dan lagu negara itu.

Malah rakyat Indonesia berkata penggunaan teknik dan motif batik rakyat Malaysia juga sebagai satu plagiat.

Bagaimanapun pakar batik Persatuan Warisan Indonesia, Judi Achjadi berkata pengiktirafan Unesco terhadap batik Indonesia tidak bermakna Malaysia yang memiliki tradisi pembuatan pakaian sendiri tidak mempunyai hak terhadap hasil seni itu yang turut tersebar ke seluruh Asia, Asia Barat dan Afrika.

“Fokus pencapaian ini tidak sepatutnya terhadap Malaysia,” kata Achjadi. – AFP

Ulasan: Saya tidak merasa terkilan langsung dengan ‘kemenangan’ Indonesia tersebut. Apa yang saya terkilan adalah, ramai yang tersilau dengan semangat nasionalisma. Ramai yang lupa apa definisi Melayu dan sempadan wilayahnya kerana termakan dengan dakyah nasionalisma. Mudah-mudahan kita sedar semula.

Yahamim: Sudah lama tidak memakai batik.

Comments (3)