Salam Ya Hamim


Azimat Daripada Sifu PTS


Apr 20

banner

bannerpestabuku

Saya hanya sempat ke PBAKL 2009 pada hari ketiga. Itu pun saya terpaksa korbankan acara di wacana ilmu di Kolej Darul Hikmah. Mungkin saya boleh ke PWTC setiap hari kerana dekat dengan tempat kerja, tetapi menemani teman serumah dan rakan lain yang sangat suntuk (kritikal) waktu cutinya lebih saya utamakan.

Sampai di PWTC, booth pertama yang saya cari adalah booth PTS. Alhamdulillah senang mencarinya kerana berada di aras 1.

Nampak sahaja booth, serentak dengan itu saya ternampak sifu PTS, Puan Ainon. Mata kami bertembung dan saya tidak mampu mengelak kerana beliau mengenali saya.

“Apa khabar puan?”

Soalan pertama terpacul daripada mulutnya, “Mana buku (novel)?”

Kepala ligat mencari jawapan, “Baru 50 % siap.”

Selamba beliau menjawab, “PTS tidak menerbitkan buku yang 50% siap. Kami menerbitkan buku yang 100% siap.”

Saya mencari alasan lain, “Susahlah puan untuk touch up.”

Bertubi-tubi saya diserang tanpa dapat membalas, “Jangan guna perkataan susah. Cakap saya sedang usaha touch up. Atau guna, bolehkah saya buat begini? Tunjukkan action, bukan rungutan begitu.”

Perbualan kami diganggu oleh promoter yang meminta kami mengisi borang untuk cabutan bertuah. Saya menolaknya dengan baik.

Saya mengambil peluang untuk ‘melarikan diri’. “Puan, saya mahu lihat buku-buku PTS. Terima kasih atas nasihat.”

Beliau mengangguk. “Lihatlah buku-buku Melayu.”

Tangannya mengunjukkan booth PTS yang dipenuhi orang yang lebih banyak daripada buku.

Walaupun merah padam muka saya di’sental’ oleh sifu, semangat saya untuk menyiapkan novel mencanak naik.

Terima kasih sifu!.

Yahamim: Menunggu peluang untuk memberi azimat pula kepada orang lain.

Comments (0)

Myvi Jadi Idaman Pengunjung PBAKL


Apr 20

banner

bannerpestabuku

Antara yang jadi perhatian semasa PBAKL adalah hadiah yang ditawarkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). ITNM menawarkan hadiah utama sebuah Perodua Myvi kepada pembeli bertuah.

Dengan resit pembelian buku terbitan ITNM, pengunjung layak menyertai peraduan dan perlu menjawab dua soalan mudah. Pemenang akan ditentukan berdasarkan jawapan terbaik.

Ridwanto yang berada di Johor awal-awal sudah memang azam, “Saya akan datang ke PBAKL. Saya akan pastikan Myvi jadi milik saya.”

Semalam (Ahad, 19 April) saya ke sana dengan Naiem dan Rahmat. Terserempak pula dengan Fairuz dan Azfar. Fairuz memang terkenal dengan kaki masuk peraduan. Azfar boleh tahan juga iltizamnya untuk menang.

Kepada mereka berdua saya beri sedikit tips. Macamlah saya handal sangat hendak beri tips kepada orang lain (hehe).

“Terjemahan sangat penting. Al-Quran sendiri mengaplikasikan konsep terjemahan di dalamnya. Kandungan Al-Quran bukan fasal orang Arab sahaja tetapi meliputi penutur bahasa asing seperti bangsa lain di dunia, penduduk langit (malaikat), jin dan syaitan. Semuanya sudah diterjemahkan kepada bahasa Arab.”

“Tips yang sangat berguna. Saya akan cuba ekstrak daripada tips yang kamu beri. Terima kasih.”

Yahamim: Ada pasang cita-cita juga hendak menang Myvi. 

Comments (0)

Pesanan Buku Untuk Pesta Buku


Apr 20

banner

bannerpestabuku

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2009 sudah tiba! PWTC sedang diserang oleh ulat-ulat buku!

Saya rasa saya seperti pengedar buku (distributor) pula apabila menerima banyak tempahan buku untuk dibelikan. Hakikatnya saya bukan apa-apa, saya hanya pengunjung biasa. Namun demi cinta kepada buku, saya turutkan sahaja.

Pesanan pertama saya terima melalui emel. Itu lama sebelum PBAKL 2009 berlangsung.

“Assalammualaikum. Hamim, minta tolong kalau pergi Pesta buku atau kalau-kalau ternampak buku bertajuk ‘Hikayat Burung Bayan’, minta tolong belikan untuk saya boleh? Buku asal dalam tulisan jawi, mungkin ada versi rumi. Kalau jumpa telefon saya019-*******.”

Buku tersebut saya masih mencarinya. Agak sukar kerana ia buku lama. Takut-takut sudah tidak diterbitkan lagi.

Pesanan kedua dibuat melalui panggilan telefon.

“Hamim, tolong carikan buku Jutawan Dari Planet Jupiter dan Rich Dad Poor Dad.”

“Insya Allah.”

“Kamu rasa saya perlu baca Men Are From Mars, Women Are From Venus atau tidak?”

“Isinya bagus, baca sahajalah.”

Apabila buku tersebut saya jumpa, saya menelefon semula sahabat saya untuk dapatkan kepastian jika dia benar-benar mahukannya. Tahu apa jawapannya?

“Harga tidak boleh murah lagikah? Tidak mengapalah, saya minta tolong tengokkan sahaja.”

Budak ini main-main pula dengan aku. Piat telinga baru tahu!

Pesanan ketiga saya terima usai sahaja beredar dari PWTC. Ia dihantar melalui SMS daripada seorang sahabat nun di Johor.

“Salam. Sihat? Saya hendak minta tolong, Isnin ini Pesta Buku bemula bukan? Saya baca iklan dalam Mingguan Malaysia hari ini. Tolong belikan buku Kisah Dongeng & Cerita Rakyat Malaysia & Jerman. Kamu lihat harga dahulu, nanti saya bank in dalam akaun kamu. Esok pukul 4 pelancaran buku itu. Saya rasa penerbitnya Institut Terjemahan Negara Malaysia.”

Ada fakta yang salah di sini. PBAKL bermula 17 (Jumaat) bukan Isnin. Mungkin buku itu yang dilancarkan pada hari Isnin.

Insya Allah saya akan ke sana lagi dan dapatkan buku yang dimaksudkan itu.

Yahamim: Tidak terima tempahan gubahan hantaran.

Comments (0)