Apa Tujuan Kita Belajar Bahasa?
Apr 03
Penulisan ini diambil daripada blog Prof. Abdullah Hassan.
Ada sebuah buku lama, iaitu Gardner, R. C., & Lambert, W. E. (1972). Attitudes and motivation in second language learning. Rowley, MA: Newbury House. Buku ini didasarkan kepada sebuah penyelidikan lamanya yang diterbitkan sebagai artikel dalam Canadian Journal of Psychology: 13, bertajuk “Motivational variables in second language acquisition.”
Pada mereka ada dua tujuan kita belajar bahasa kedua. Pertama, bahasa itu untuk dijadikan sebagai alat untuk mendapat ilmu, atau mungkin juga pekerjaan. Kedua, untuk tujuan supaya kita dapat menyerapkan diri dalam budaya bahasa yang dipelajari.
Apabila tujuan ini jelas pada kita, maka kita akan cepat dapat menguasai bahasa yang dipelajari.
Ini dapat dilihat dalam kalangan pelajar yang hendak dihantar ke Perancis, Belanda, (juga Inggeris), China, Korea, Jepun, dll. Tujuan mereka belajar bahasa kedua itu sangat jelas. Oleh sebab itu mereka dengan pantas dapat menguasai bahasa negara berkenaan. Mereka dapat mengikuti kursus bahasa itu dengan jayanya, dan ramai yang menyambung pengajian pada tahap sarjana dan kedoktoran.
Kursus bahasa Inggeris yang diajarkan di sekolah pada masa ini tidak mempunyai tujuan khusus dan jelas sepeti itu. Tujuan yang disebut-sebut oleh menteri dan penyokongnya “bagi mendapatkan ilmu dalam bahasa Inggeris itu memang tidak khusus.” Kita tidak tahu apa bidangnya, apa tahapnya, dan di mana pula negara yang akan dihantarkan pelajar kita itu. Tujuan demikian adalah umum dan tidak dapat dianggap khusus.
Yang pasti, mengajarkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris itu tentu bukan untuk menghantar semua anak-anak kita belajar ke negara berbahasa Inggeris.
Yang pasti juga, ppsmi itu bukan untuk menyerapkan kita semua ke dalam budaya Inggeris! Atau mungkinkah itu yang diharapkan!
Tidak dinafikan ada golongan yang mahu belajar bahasa Inggeris itu bagi tujuan supaya dapat menyerapkan diri dalam budaya bangsa berbahasa Inggeris. Jikalau ini tujuannya, sains dan matematik bukanlah mata pelajaran terbaik.
Dalam pada itu, sudah ada pula arahan tidak bertulis supaya kursus bukan sains di universiti pun mesti mula diajarkan dalam bahasa Inggeris.
Apakah pemimpin kita ini tahu apa tujuan mereka melakukan semua ini!
Untuk tujuan supaya bahasa itu dapat dijadikan sebagai alat, atau tujuan bagi menyerapkan diri kita ke dalam budaya bahasa Inggeris?
Yahamim: “Belajar” bahasa Melayu untuk ilmu dan menguasai budayanya.



Akademi Latihan Penerbitan PTS
Puan Ainon Mohd (Sifu PTS)
Irhafiz