Salam Ya Hamim


Laman Web Baru MyIPO Lebih Interaktif


Apr 30

Sumber Akhbar Berita Minggu – 26/04/2009

KUALA LUMPUR: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melancarkan laman web barunya yang lebih interaktif bagi membolehkan orang awam mendapat maklumat terkini harta intelek.

Ketua Pengarah MyIPO, Kamel Mohamad, berkata melalui laman web itu, kegiatan semasa serta Pusat Latihan Harta Intelek seperti seminar, bengkel dan latihan terkini akan dikemas kini ke laman web dari semasa ke semasa.

“Pemilik harta intelek kini boleh menggunakan perkhidmatan di www.myipo.gov.my bagi memohon atau menyemak status terkini permohonan paten dan cap dagangan.

“Kami berharap pembaharuan ini menarik lebih ramai pengunjung seterusnya meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan harta intelek,” katanya pada pelancaran laman web MyIPO, di sini semalam.

Ekspo Hari Harta Intelek Negara berlangsung lima hari bermula 23 April lalu sempena Hari Harta Intelek Sedunia, selain sebagai usaha memberi pengiktirafan kepada pereka cipta dan pencipta harta intelek.

“Seminar dan ekspo dijalankan diharapkan dapat membantu orang ramai memahami dan menghayati perkembangan harta intelek dan menggalakkan budaya kreatif di kalangan masyarakat.”

“Cetusan kreativiti melalui reka cipta dan paten yang terhasil dapat merangsang pembangunan sektor harta intelek sebagai salah satu komponen ekonomi negara justeru kelembapan ekonomi tidak seharusnya dijadikan alasan bagi masyarakat untuk tidak terus mencipta,” katanya.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Reka Cipta dan Menulis Esei Hari Harta Intelek Negara 2009 kali keempat yang diadakan bertujuan untuk mendedahkan pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah mengenai kepentingan harta intelek.

Yahamim: Suka dengan perkataan interaktif.

Comments (0)

Hikayat Abdullah


Apr 28

Antara novel yang saya sedang gulati adalah Hikayat Abdullah. Jangan tersilap pula, ia adalah hikayat Munsyi Abdullah bukan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Ia adalah riwayat hidup beliau sendiri tetapi sudah diterjemahkan kepada bahasa Melayu moden dan dikelaskan sebagai semi klasik.

Saya katakan kepada seorang rakan, “Melalui buku ini saya tahu sedikit apa punca masalah orang Melayu sekarang ini.”

Munsyi Abdullah hidup pada kurun ke-18. Sejak kecil beliau diajar menulis dan membaca.

Beliau menghadapi kesukaran untuk belajar Bahasa Melayu kerana orang Melayu tidak berminta belajar bahasanya sendiri.

Anggapan mereka, masakan orang Melayu perlu belajar lagi bahasanya sendiri.

Kroniknya keadaan sehinggakan tiada tempat yang mengajarkan bahasa Melayu untuk dipelajari. Sedangkan semua urusan percakapan dan tulisan dalam bahasa Melayu.

Beliau menguasai bahasa Melayu atas usaha beliau sendiri bertanyakan kepada orang itu dan orang ini.

Sikap yang sama masih bertakuk dalam kepala kita sehingga isu PPSMI menjadi barah dalam negara.

Kata orang bijak pandai, “Orang yang berpuru kerjanya menggaru puru sahaja.”

Yahamim: Sejak kecil belajar bahasa Melayu dan masih lagi belajar.

Comments (2)

Hari Harta Intelek Negara 2009


Apr 22

banner

bannerpestabuku

Tinggal satu hari sahaja lagi Hari Harta Intelek Negara 2009 (HHIN 09) akan berlangsung. Sebagai ajk penganjur, saya harapkan ia berlangsung dengan jayanya seperti yang dirancang.

Kepada semua pembaca, dijemput ke pameran yang diadakan. Selain mengunjungi pesta buku di PWTC, masukkan sekali dalam jadual untuk ke KLCC di mana HHIN 09 berlangsung.

Maklumat berkenaan HHIN 09 boleh dibaca di sini.

Yahamim: Sedang membina harta intelek sendiri.

Comments (0)

Konti Radio PTS


Apr 22

banner

bannerpestabuku

Ini gambar Sifu PTS di ‘konti radio PTS’ yang letaknya berhadapan dengan deretan booth PTS di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009. Pengisian konti tersebut adalah maklumat terbaru buku dan temu bual dengan penulis buku.

dsc01519

Sifu sedang bercakap tentang buku “Rahsia Bisnes Mamak”.

Saya sempat berbual-bual dengan beliau. Antaranya adalah tentang penampilan beliau dalam rancangan “Di Luar Lingkungan” yang dihoskan oleh Sayed Munawar. Beliau dijemput atas kapasiti seorang pemilik syarikat penerbitan buku yang berjaya.

“Saya menonton puan di televisyen malam tadi.”

“Saya garang kan?”

Saya hanya tergelak sambil mengangguk.

Beliau turut memuji pengacara rancangan tersebut, “Sayed Munawar bagus, dia fair.”

Yahamim: Teringin juga berceloteh di konti.

Comments (0)

Azimat Daripada Sifu PTS


Apr 20

banner

bannerpestabuku

Saya hanya sempat ke PBAKL 2009 pada hari ketiga. Itu pun saya terpaksa korbankan acara di wacana ilmu di Kolej Darul Hikmah. Mungkin saya boleh ke PWTC setiap hari kerana dekat dengan tempat kerja, tetapi menemani teman serumah dan rakan lain yang sangat suntuk (kritikal) waktu cutinya lebih saya utamakan.

Sampai di PWTC, booth pertama yang saya cari adalah booth PTS. Alhamdulillah senang mencarinya kerana berada di aras 1.

Nampak sahaja booth, serentak dengan itu saya ternampak sifu PTS, Puan Ainon. Mata kami bertembung dan saya tidak mampu mengelak kerana beliau mengenali saya.

“Apa khabar puan?”

Soalan pertama terpacul daripada mulutnya, “Mana buku (novel)?”

Kepala ligat mencari jawapan, “Baru 50 % siap.”

Selamba beliau menjawab, “PTS tidak menerbitkan buku yang 50% siap. Kami menerbitkan buku yang 100% siap.”

Saya mencari alasan lain, “Susahlah puan untuk touch up.”

Bertubi-tubi saya diserang tanpa dapat membalas, “Jangan guna perkataan susah. Cakap saya sedang usaha touch up. Atau guna, bolehkah saya buat begini? Tunjukkan action, bukan rungutan begitu.”

Perbualan kami diganggu oleh promoter yang meminta kami mengisi borang untuk cabutan bertuah. Saya menolaknya dengan baik.

Saya mengambil peluang untuk ‘melarikan diri’. “Puan, saya mahu lihat buku-buku PTS. Terima kasih atas nasihat.”

Beliau mengangguk. “Lihatlah buku-buku Melayu.”

Tangannya mengunjukkan booth PTS yang dipenuhi orang yang lebih banyak daripada buku.

Walaupun merah padam muka saya di’sental’ oleh sifu, semangat saya untuk menyiapkan novel mencanak naik.

Terima kasih sifu!.

Yahamim: Menunggu peluang untuk memberi azimat pula kepada orang lain.

Comments (0)

Myvi Jadi Idaman Pengunjung PBAKL


Apr 20

banner

bannerpestabuku

Antara yang jadi perhatian semasa PBAKL adalah hadiah yang ditawarkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). ITNM menawarkan hadiah utama sebuah Perodua Myvi kepada pembeli bertuah.

Dengan resit pembelian buku terbitan ITNM, pengunjung layak menyertai peraduan dan perlu menjawab dua soalan mudah. Pemenang akan ditentukan berdasarkan jawapan terbaik.

Ridwanto yang berada di Johor awal-awal sudah memang azam, “Saya akan datang ke PBAKL. Saya akan pastikan Myvi jadi milik saya.”

Semalam (Ahad, 19 April) saya ke sana dengan Naiem dan Rahmat. Terserempak pula dengan Fairuz dan Azfar. Fairuz memang terkenal dengan kaki masuk peraduan. Azfar boleh tahan juga iltizamnya untuk menang.

Kepada mereka berdua saya beri sedikit tips. Macamlah saya handal sangat hendak beri tips kepada orang lain (hehe).

“Terjemahan sangat penting. Al-Quran sendiri mengaplikasikan konsep terjemahan di dalamnya. Kandungan Al-Quran bukan fasal orang Arab sahaja tetapi meliputi penutur bahasa asing seperti bangsa lain di dunia, penduduk langit (malaikat), jin dan syaitan. Semuanya sudah diterjemahkan kepada bahasa Arab.”

“Tips yang sangat berguna. Saya akan cuba ekstrak daripada tips yang kamu beri. Terima kasih.”

Yahamim: Ada pasang cita-cita juga hendak menang Myvi. 

Comments (0)

Pesanan Buku Untuk Pesta Buku


Apr 20

banner

bannerpestabuku

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2009 sudah tiba! PWTC sedang diserang oleh ulat-ulat buku!

Saya rasa saya seperti pengedar buku (distributor) pula apabila menerima banyak tempahan buku untuk dibelikan. Hakikatnya saya bukan apa-apa, saya hanya pengunjung biasa. Namun demi cinta kepada buku, saya turutkan sahaja.

Pesanan pertama saya terima melalui emel. Itu lama sebelum PBAKL 2009 berlangsung.

“Assalammualaikum. Hamim, minta tolong kalau pergi Pesta buku atau kalau-kalau ternampak buku bertajuk ‘Hikayat Burung Bayan’, minta tolong belikan untuk saya boleh? Buku asal dalam tulisan jawi, mungkin ada versi rumi. Kalau jumpa telefon saya019-*******.”

Buku tersebut saya masih mencarinya. Agak sukar kerana ia buku lama. Takut-takut sudah tidak diterbitkan lagi.

Pesanan kedua dibuat melalui panggilan telefon.

“Hamim, tolong carikan buku Jutawan Dari Planet Jupiter dan Rich Dad Poor Dad.”

“Insya Allah.”

“Kamu rasa saya perlu baca Men Are From Mars, Women Are From Venus atau tidak?”

“Isinya bagus, baca sahajalah.”

Apabila buku tersebut saya jumpa, saya menelefon semula sahabat saya untuk dapatkan kepastian jika dia benar-benar mahukannya. Tahu apa jawapannya?

“Harga tidak boleh murah lagikah? Tidak mengapalah, saya minta tolong tengokkan sahaja.”

Budak ini main-main pula dengan aku. Piat telinga baru tahu!

Pesanan ketiga saya terima usai sahaja beredar dari PWTC. Ia dihantar melalui SMS daripada seorang sahabat nun di Johor.

“Salam. Sihat? Saya hendak minta tolong, Isnin ini Pesta Buku bemula bukan? Saya baca iklan dalam Mingguan Malaysia hari ini. Tolong belikan buku Kisah Dongeng & Cerita Rakyat Malaysia & Jerman. Kamu lihat harga dahulu, nanti saya bank in dalam akaun kamu. Esok pukul 4 pelancaran buku itu. Saya rasa penerbitnya Institut Terjemahan Negara Malaysia.”

Ada fakta yang salah di sini. PBAKL bermula 17 (Jumaat) bukan Isnin. Mungkin buku itu yang dilancarkan pada hari Isnin.

Insya Allah saya akan ke sana lagi dan dapatkan buku yang dimaksudkan itu.

Yahamim: Tidak terima tempahan gubahan hantaran.

Comments (0)

Salam Yahamim Dijenamakan Semula (?)


Apr 17

banner

bannerpestabuku

Beberapa hari yang lepas seorang sahabat menemui saya.

Dia bertanyakan tentang blog saya, “Bila nama blog hendak tukar kepada yahamim.com?”

Saya jawab, “Perlu bayarlah.”

“Setahun hanya RM 50, purata sehari tidak sampai 2 sen.”

“Nanti saya fikirkan. Mungkin selepas Hari Harta Intelek Negara 2009 (Mei).”

Kemudian dia mengemukakan cadangan yang menarik, “Bila sudah daftar, saya akan tolong set up semuanya. Satu malam sahaja boleh siap.”

Tukar kepada yahamim.com, itu perkara pertama. Saya juga turut memikirkan kemungkinan menukarkan ejaannya kepada “yahameem”. Macam menarik!

dsc01517

Walau apa pun, saya belum habis buat pertimbangan. Mudah-mudahan hal ini tidak menuntut ruang berfikir saya yang luas. Banyak lagi ruang yang perlu diperuntukkan untuk benda lain.

Yahameem: Nama Hamim Bin Nasoha tidak akan dijenamakan semula.

Comments (4)

Menteri Pelajaran Baru


Apr 14

bannerpestabuku

Semua sedia maklum, kita sudah mendapat Menteri Pelajaran yang baru iaitu Muhyiddin Yassin. Agak-agaknya boleh diharapkan beliau memandang isu PPSMI?

Sesuaikah pantun ini ditujukan buat beliau?

Arak-arak kelapa puan,

Tidak puan kelapa bali,

Harap-harap kepadamu tuan,

Tidak tuan siapa lagi.

Atau inikah yang kita terima?

Penatlah saya menanam padi,

Nanas juga ditanam orang,

Penat saya menanam bakti,

RM 5 billion juga dipandang orang.

Tuan MSO ada pendapatnya sendiri.

Yahamim: Harap isu PPSMI selesai segera.

Comments (2)

RM 300 Untuk Pesta Buku?


Apr 13

bannerpestabuku

Malam semalam seorang sahabat menelefon saya. Sebenarnya saya yang menghubunginya dahulu untuk meminta pendapat, tetapi talian asyik terputus. Akhirnya keadaan jadi terbalik, dia pula yang terpaksa telefon saya (selamat kredit saya).

Persamaan antara kami antaranya sama-sama bercita-cita (berangan) hendak jadi penulis buku tetapi hampeh (maaf bahasa tiada dalam kamus) tiada hasil. Tidak mengapa yang penting ada perancangan.

Dia yang berada di Johor berjanji untuk datang ke KL semasa Pesta Buku Kuala Lumpur 17-26 April nanti. Datanglah, saya tidak halang pun.

Dia bertanya, “Berapa kamu peruntukkan untuk pesta buku nanti?”

Saya menjawab, “Mungkin dalam RM 150.”

“Mana cukup Cikgu Ha Hamim, sekurang-kurangnya RM 300 baru cukup. Kalau ada RM 500 lagi bagus.”

Saranan itu saya jawab dengan baik, “Buku-buku PTS tidaklah mahal sangat. Kebanyakannya di bawah Rm30.”

 Sebenarnya saya hendak jawab begini, “Kamu bolehlah, beli buku tetapi tidak membacanya.”

Yahamim: Baca buku yang dibeli, baca juga buku yang tidak dibeli. 

Comments (1)