Beberapa hari yang lalu saya makan tengah hari bersama Cikgu Ha. Satu perkara yang membosankan apabila berbual-bual dengan Cikgu Ha adalah saya tiada peluang hendak bercakap. Dia sahaja yang bercakap bagai bertih jagung.
Namun saya seronok juga kerana ideanya memang bernas. Walaupun tidak lagi mengajar (tuisyen) dia tetap ingin dipanggil “cikgu’. Baiklah, cikgu.
Dalam saya buat-buat tidak dengar, sebenarnya saya cermat meneliti ideanya. Jangan marah ya Cikgu Ha.
Menurutnya, dalam bidang matematik ada kaedah yang disebut “CUBA JAYA” untuk menyelesaikan masalah matematik. Kita perlu mencuba secara rambang sebelum mendapat jawapan sesuatu masalah.
Kembang kuncup hidungnya mengatakan istilah itu jauh lebih baik daripada istilah bahasa Inggeris iaitu “TRY AND ERROR”.
Saya menoleh juga sekeliling ketika hidung Cikgu Ha kembang kuncup. Maklumlah lelaki budiman seperti Cikgu Ha tidak boleh dilihat tidak lawa di khalayak ramai apatah lagi jika ada anak dara yang lalu. Rosaklah imej.
“Bagaimana pelajar hendak cemerlang jika dimomokkan setiap try akan error berbanding istilah Melayu setiap percubaan dijanjikan berjaya!”
Saya mengangguk-angguk, Cikgu Ha terkekeh-kekeh ketawa senang.
Sempat saya tanya, bila akan berkursus (kahwin)? Dia hanya menjengket bahu, kursus ditunda katanya.
Kemudian dia terus menceceh lagi, hal UMNO yang kononnya kembali bersatu, perhimpunan 100 ribu menentang PPSMI yang akan dibawa ke setiap negeri dan entah apa lagi butirnya. Itu akan saya kongsikan pada entri yang akan datang.
Yahamim: Cuba-cuba menulis akhirnya berjaya juga.



Akademi Latihan Penerbitan PTS
Puan Ainon Mohd (Sifu PTS)
Irhafiz