Salam Ya Hamim


Cikgu Ha: Cuba Jaya


Mar 31

Beberapa hari yang lalu saya makan tengah hari bersama Cikgu Ha. Satu perkara yang membosankan apabila berbual-bual dengan Cikgu Ha adalah saya tiada peluang hendak bercakap. Dia sahaja yang bercakap bagai bertih jagung.

Namun saya seronok juga kerana ideanya memang bernas. Walaupun tidak lagi mengajar (tuisyen) dia tetap ingin dipanggil “cikgu’. Baiklah, cikgu.

Dalam saya buat-buat tidak dengar, sebenarnya saya cermat meneliti ideanya. Jangan marah ya Cikgu Ha.

Menurutnya, dalam bidang matematik ada kaedah yang disebut “CUBA JAYA” untuk menyelesaikan masalah matematik. Kita perlu mencuba secara rambang sebelum mendapat jawapan sesuatu masalah.

Kembang kuncup hidungnya mengatakan istilah itu jauh lebih baik daripada istilah bahasa Inggeris iaitu “TRY AND ERROR”.

Saya menoleh juga sekeliling ketika hidung Cikgu Ha kembang kuncup. Maklumlah lelaki budiman seperti Cikgu Ha tidak boleh dilihat tidak lawa di khalayak ramai apatah lagi jika ada anak dara yang lalu. Rosaklah imej.

“Bagaimana pelajar hendak cemerlang jika dimomokkan setiap try akan error berbanding istilah Melayu setiap percubaan dijanjikan berjaya!”

Saya mengangguk-angguk, Cikgu Ha terkekeh-kekeh ketawa senang.

Sempat saya tanya, bila akan berkursus (kahwin)? Dia hanya menjengket bahu, kursus ditunda katanya.

Kemudian dia terus menceceh lagi, hal UMNO yang kononnya kembali bersatu, perhimpunan 100 ribu menentang PPSMI yang akan dibawa ke setiap negeri dan entah apa lagi butirnya. Itu akan saya kongsikan pada entri yang akan datang.

Yahamim: Cuba-cuba menulis akhirnya berjaya juga.

Comments (0)

PPSMI: Pelajar Saman Kerajaan


Mar 31

4 Pelajar Saman Kerajaan Isu Sains, Matematik dalam BI

Oleh: AMIRUDDIN HARUN

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Seorang pelajar sekolah rendah dan tiga pelajar sekolah menengah hari ini menyaman kerajaan berhubung pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Mereka menuntut perisytiharan mahkamah bahawa pelaksanaan PPSMI itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Saman pemula tersebut difailkan oleh Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar, 10; Mohammad Fadzil Nor Mohd. Rosni, 15; Nur Najihah Muhaimin, 15; dan Syazaira Arham Yahya Ariff, 16, melalui bapa masing-masing.

Dalam saman tersebut, mereka menuntut perisytiharan bahawa Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 11/2002 bertarikh 27 November 2002 adalah tidak berperlembagaan, tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai sebarang kesan.

Pelaksanaan dua mata pelajaran itu ialah di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil, Sekolah Menengah (SM) dan Tingkatan Enam mulai tahun 2003.

Mereka turut menuntut perisytiharan yang sama terhadap Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 12/2002 untuk SJK Cina.

Mereka yang menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan juga menuntut perisytiharan bahawa defendan tidak mempunyai kuasa dan budi bicara untuk memperkenal, menguatkuasa dan melaksanakan dasar yang dinyatakan dalam Pekeliling 11 dan 12 tersebut.

Di samping itu, mereka menuntut perintah mengarahkan defendan supaya menukar semula dasar tersebut menurut kehendak dan peruntukan perlembagaan serta undang-undang bertulis.

Tindakan saman ini diambil dengan alasan antara lainnya ialah pelaksanaannya dibuat tanpa mengambil kira peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan (iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan) dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 serta Akta Pendidikan 1996.

 

Mereka juga mendakwa wujud diskriminasi apabila terdapat perbezaan peruntukan tempoh masa dalam seminggu bagi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran berkenaan antara SK dan SJK Tamil dengan SJK Cina serta antara pelajar di kawasan bandar dengan pelajar luar bandar.

Saman itu dikemukakan oleh mereka selaku plaintif pertama hingga keempat melalui bapa masing-masing iaitu [b]Mohammad Nizar Jamaluddin[/b], Mohd. Rosni Abu Bakar, Muhaimin Sulam dan Mejar (B) Yahya Ariff Kamaruzzaman.

[b]Mohammad Nizar, seorang jurutera dan Yahya, bekas pegawai tentera bersama beberapa ahli parti Pas termasuk Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, [/b]Idris Ahmad turut hadir semasa saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini.

Afidavit Mohammad Nizar, 49, yang difailkan bagi menyokong saman berkenaan menyatakan bahawa anaknya, Syawwaal merupakan pelajar tahun empat di SK Batu Tiga, Temoh, Perak.

Mohammad Fadzil Nor dan Nur Najihah masing-masing pelajar tingkatan tiga di SMK Tok Muda Abd. Aziz dan SMK Seri Perak manakala Syazaira pelajar tingkatan empat di Madrasah Idrissiah, Bukit Chandan, Perak.

Dia mendakwa plaintif-plaintif telah dipaksa belajar dan diajar bagi kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris tanpa kerelaannya sebagai bapa dan bapa-bapa pihak plaintif lain.

Yahamim: Belum terfikir untuk menyaman sesiapa.

Comments (0)