Salam Ya Hamim


Blog Pelajar dan Bekas JKM KTC


Mar 03

JKM KTC adalah akronim kepada Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Malaysia. Di kolej inilah saya belajar erti matang, persahabatan dan kepimpinan. Di sini saya senaraikan beberapa blog kawan-kawan saya yang pernah dan masih menjadi JKM KTC. Sesiapa yang tidak disenaraikan sila maklumkan segera kepada saya untuk dimasukkan ke dalam senarai.

  1. Azim Fahada (sudah jadi perwakilan sekarang).

Kepada semua, selamat maju jaya dalam kehidupan dan terus salurkan manfaat kepada masyarakat melalui blog.

Senarai terus bertambah!

Biro-biro juga sudah maju dengan membangunkan blog sendiri. Tahniah!

Yahamim: Sedang mencari blog bekas-bekas pelajar SMK Tun Ismail terutama yang pernah sekelas dan rakan setingkatan.

Comments (13)

Kisah Cikgu Ha


Mar 03

Ingin saya berkisah tentang seorang cikgu yang masih muda belia. Ceritanya berlaku lama dahulu, kira-kira dua tahun lepas. Cikgu tersebut namanya Cikgu Ha, dipanggil cikgu kerana mencari duit saku sebagai guru tuisyen selain tugas hakikinya sebagai pelajar.

Orangnya masih muda belia, tidaklah terlalu elok paras rupanya tetapi kiranya ada-ada juga. Bak kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, “Cantik itu tidak tetapi manisnya ada.” Namun begitu dia masih bujang trang tang tang. Bukan takut bercinta tetapi belum tiba masa katanya. Kepada anak dara yang sudah teringin sangat hendak berlaki mungkin boleh cuba-cuba.

Melalut pula cerita saya ini. Ini bukan pasal Cikgu Ha hendak mencari jodoh. Bukan, tidak sama sekali. Ini pasal tugasnya sebagai guru tuisyen. Tetapi dia tidak menolak jika ada anak dara yang ingin mencuba. Melalut lagi.

Adapun kerjaya sebagai guru tuisyen bukanlah dirancang-rancang olehnya, apatah lagi kerjaya impian. Walaupun bapanya memang suka dia menjadi cikgu tetapi cita-citanya lebih tinggi daripada itu. Tawaran tuan punya pusat tuisyen selain kekurangan wang menggiurkannya.

“Guru ibarat lilin yang menerangi.” Itulah kata-kata azimat yang dia dengar sejak kecil. Maka tugas itupun dilaksanakan dengan penuh dedikasi. Diberikan tugas mengajar mata pelajaran matematik sangat menggembirakannya kerana dia memang bagus dalam mata pelajaran itu.

Setiap minggu berulang-aliklah Cikgu Ha dari kolej ke pusat tuisyen demi tugas barunya. Hujan dan panas dia tidak hirau, penat dan lelah pun dia tidak risau. Kalau motornya rosak sanggup dia meminjam, malah kalau sakit pening sanggup dia pendam.

Anak muridnya pula tidaklah cerdas-cerdas belaka, tetapi semua rajin-rajin belaka. Selepas diajar begitu begini, semuanya masih ternganga tidak faham sana sini. Diterangkan semula itu ini, barulah faham walau seorang ke kanan seorang ke kiri.

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Itu pesan orang dulu-dulu dalam mendidik anak-anak. Terkadang hendak sahaja dicincang rebung ini kerana degil tidak lentur-lentur, malah melibas balik apabila dilepaskan. Disabarkan juga hati Cikgu Ha kerana mendidik perlu kesabaran.

Soalan matematik ini bermain dengan nombor, diajar pula dalam Bahasa Melayu. Itupun susah hendak tangkap konsepnya.

“Bagaimana agaknya cikgu sains mengajar?” Tertanya-tanya juga Cikgu Ha dalam hati.

Kadang-kadang macam orang kena sampuk lagaknya Cikgu Ha ini. Berjalan keliling seperti pemain kuda kepang yang kesurupan. Ini semua bukan gara-gara anak muridnya yang lambat tangkap, tetapi angkara Pak Menteri yang bengap.

Apabila bercakap soal Menteri Pelajaran memang hilang budi bahasa Cikgu Ha, serasa hendak mencarut mencaci belaka. Dalam berpantun pun terisi maki hamun dan caci. Disabarkan hatinya, nasib baik semua berlaku dalam hati jika terluah di mulut pasti anak dara yang asyik mengintai Cikgu Ha habis lari. Jangan takut, Cikgu Ha tetap terpelihara budi pekertinya.

Kalau Cikgu Ha boleh berjumpa dan bercakap dengan menteri, hendak dibisikkan ayat Al-Quran berikut kemudian dipekikkan ke telinganya apa maksudnya.

“Dan kami tidak mengutus seorang Rasul pun melainkan dengan bahasa kaumnya, agar dia dapat memberi penjelasan kepadanya.” Surah Ibrahim ayat 4.

Nabi dan Rasul memandaikan umatnya dengan bahasa mereka bukan bahasa asing. Pak Menteri pula pandai-pandai mengajar orang Melayu menggunakan Bahasa Inggeris. Supaya lebih pandai katanya.

Pak Menteri juga liat tidak mahu ikut sunnah Al-Quran. Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab kepada Nabi Muhammad yang berbangsa Arab. Tetapi Pak Menteri menurunkan kitab-kitab sains dan matematik kepada anak Melayu dalam Bahasa Inggeris.

“Alif, ba, ta kayu.” Itu kata sifu Cikgu Ha kepada orang yang otaknya tidak berapa nak cerdik tetapi tidak mahu dengar kata.

“Bodoh tidak boleh diajar, cerdik tidak boleh diikut.” Itu kata orang lama-lama.

Sayang Cikgu Ha tidak mengajar lama. Dia terpaksa berpindah ke ibu negara kerana tuntutan nafkah. Tetapi perjuangan Cikgu Ha tidak terhenti. Cikgu Ha terus menentang gagasan Pak Menteri demi anak bangsanya. Cikgu Ha juga sudah pandai berdemonstrasi. Dia tidak takut sedikitpun. Kepada sesiapa yang ingin ikut sama, rajin-rajinlah mengintai peluang yang ada.

Alang-alang sudah berjuang, biar sampai menang. 

Yahamim: Cikgu Ha duduk di sebelah ketika menaip kisah ini.

Comments (6)

Sabtu 7 Mac: 3 Lokasi Berhimpun


Mar 03

KENYATAAN MEDIA
27hb Februari 2009

Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) akan mengadakan Himpunan Aman 100 Ribu di Istana Negara pada 7hb Mac 2009 jam 2 petang. GMP telah menetapkan tiga lokasi tempat berhimpun sebelum berarak ke Istana Negara seperti berikut :

a. Pusat Perniagaan SOGO
b. Centrel Market
c. Masjid Negara

Bagi memudahkan perjalanan himpunan ini maka semua peserta digalakkan menggunakan kenderaan awam untuk hadir dalam himpunan ini. Peserta dikehendaki berada dilokasi yang telah ditetapkan pada jam 2 petang. Kawalan keselamatan akan dibantu oleh pihak polis dan Unit Amal seluruh negara. Permit himpunan telah dipohon kepada Y.Bhg Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara. Peserta adalah dilarang samasekali membawa barang-barang yang berbahaya seperti senjata, peralatan tajam dan lain-lain lagi. Sebarang simbol parti juga tidak dibenarkan.

Pimpinan yang akan turut sama dalam himpunan ini adalah Dato’ A.Samad Said, Dato’ Dr Hassan Ahmad, Dr Shaharil Mohamad Zain, Prof Emeritus Abdullah Hasaan, Prof Emeritus Dato’ Nik Safiah Karim, Y.B Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Y.B Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Y.B Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Warna tema GMP adalah ’putih’. Peserta digalakkan menggunakan baju putih yang melambangkan pembersihan terhadap PPSMI.

GMP telah mendapat sokongan terbaharu daripada Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa & Guru Nasional (PIBGN) yang mempunyai 8000 persatuan PIBG di seluruh negara. Pihak Suara Rakyat Malaysia(SUARAM) yang mempunyai 25 buah persatuan gabungan juga telah turut sama menyokong GMP. Sehubungan itu pihak GMP telah selesai mengadakan siri jelajah seluruh negara dan mendapat sambutan yang begitu mengalakkan. GMP penuh berkeyakinan bahawa 100 ribu rakyat Malaysia akan berkumpul dihadapan Istana Negara seperti yang telah dirancang.

HASNI ABAS
Setiausaha
Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)

Yahamim: Sedang mencari baju warna putih.

Comments (0)

Fenomena Azan


Mar 03

Puja dan puji kepada Allah, Tuhan sekelian alam. Tuhan yang melimpahkan rahmat ke seluruh alam. Hidup dan mati hanya untukNya. Bernafas dan bergerak semata-mata atas izinNya.

Juga selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, nabi dan rasul terakhir. Insan tempat memohon syafaat ketika hari perhitungan.

Marilah sama-sama kita hayati video pendek mengenai kebesaran perintah Allah, iaitu laungan azan yang juga seruan kepada manusia untuk mendirikan solat.

[youtube=http://www.youtube.com/watch?v=xs7WnOd-R0w&feature=related]

Sila baca artikel bertajuk Azan dan Rekod Dunia Oleh Solat sebagai bacaan tambahan.

Yahamim: Jarang melaungkan azan.

Comments (0)