Salam Ya Hamim


Cikgu Ha: Cuba Jaya


Mar 31

Beberapa hari yang lalu saya makan tengah hari bersama Cikgu Ha. Satu perkara yang membosankan apabila berbual-bual dengan Cikgu Ha adalah saya tiada peluang hendak bercakap. Dia sahaja yang bercakap bagai bertih jagung.

Namun saya seronok juga kerana ideanya memang bernas. Walaupun tidak lagi mengajar (tuisyen) dia tetap ingin dipanggil “cikgu’. Baiklah, cikgu.

Dalam saya buat-buat tidak dengar, sebenarnya saya cermat meneliti ideanya. Jangan marah ya Cikgu Ha.

Menurutnya, dalam bidang matematik ada kaedah yang disebut “CUBA JAYA” untuk menyelesaikan masalah matematik. Kita perlu mencuba secara rambang sebelum mendapat jawapan sesuatu masalah.

Kembang kuncup hidungnya mengatakan istilah itu jauh lebih baik daripada istilah bahasa Inggeris iaitu “TRY AND ERROR”.

Saya menoleh juga sekeliling ketika hidung Cikgu Ha kembang kuncup. Maklumlah lelaki budiman seperti Cikgu Ha tidak boleh dilihat tidak lawa di khalayak ramai apatah lagi jika ada anak dara yang lalu. Rosaklah imej.

“Bagaimana pelajar hendak cemerlang jika dimomokkan setiap try akan error berbanding istilah Melayu setiap percubaan dijanjikan berjaya!”

Saya mengangguk-angguk, Cikgu Ha terkekeh-kekeh ketawa senang.

Sempat saya tanya, bila akan berkursus (kahwin)? Dia hanya menjengket bahu, kursus ditunda katanya.

Kemudian dia terus menceceh lagi, hal UMNO yang kononnya kembali bersatu, perhimpunan 100 ribu menentang PPSMI yang akan dibawa ke setiap negeri dan entah apa lagi butirnya. Itu akan saya kongsikan pada entri yang akan datang.

Yahamim: Cuba-cuba menulis akhirnya berjaya juga.

Comments (0)

PPSMI: Pelajar Saman Kerajaan


Mar 31

4 Pelajar Saman Kerajaan Isu Sains, Matematik dalam BI

Oleh: AMIRUDDIN HARUN

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Seorang pelajar sekolah rendah dan tiga pelajar sekolah menengah hari ini menyaman kerajaan berhubung pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Mereka menuntut perisytiharan mahkamah bahawa pelaksanaan PPSMI itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Saman pemula tersebut difailkan oleh Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar, 10; Mohammad Fadzil Nor Mohd. Rosni, 15; Nur Najihah Muhaimin, 15; dan Syazaira Arham Yahya Ariff, 16, melalui bapa masing-masing.

Dalam saman tersebut, mereka menuntut perisytiharan bahawa Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 11/2002 bertarikh 27 November 2002 adalah tidak berperlembagaan, tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai sebarang kesan.

Pelaksanaan dua mata pelajaran itu ialah di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil, Sekolah Menengah (SM) dan Tingkatan Enam mulai tahun 2003.

Mereka turut menuntut perisytiharan yang sama terhadap Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 12/2002 untuk SJK Cina.

Mereka yang menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan juga menuntut perisytiharan bahawa defendan tidak mempunyai kuasa dan budi bicara untuk memperkenal, menguatkuasa dan melaksanakan dasar yang dinyatakan dalam Pekeliling 11 dan 12 tersebut.

Di samping itu, mereka menuntut perintah mengarahkan defendan supaya menukar semula dasar tersebut menurut kehendak dan peruntukan perlembagaan serta undang-undang bertulis.

Tindakan saman ini diambil dengan alasan antara lainnya ialah pelaksanaannya dibuat tanpa mengambil kira peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan (iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan) dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 serta Akta Pendidikan 1996.

 

Mereka juga mendakwa wujud diskriminasi apabila terdapat perbezaan peruntukan tempoh masa dalam seminggu bagi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran berkenaan antara SK dan SJK Tamil dengan SJK Cina serta antara pelajar di kawasan bandar dengan pelajar luar bandar.

Saman itu dikemukakan oleh mereka selaku plaintif pertama hingga keempat melalui bapa masing-masing iaitu [b]Mohammad Nizar Jamaluddin[/b], Mohd. Rosni Abu Bakar, Muhaimin Sulam dan Mejar (B) Yahya Ariff Kamaruzzaman.

[b]Mohammad Nizar, seorang jurutera dan Yahya, bekas pegawai tentera bersama beberapa ahli parti Pas termasuk Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, [/b]Idris Ahmad turut hadir semasa saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini.

Afidavit Mohammad Nizar, 49, yang difailkan bagi menyokong saman berkenaan menyatakan bahawa anaknya, Syawwaal merupakan pelajar tahun empat di SK Batu Tiga, Temoh, Perak.

Mohammad Fadzil Nor dan Nur Najihah masing-masing pelajar tingkatan tiga di SMK Tok Muda Abd. Aziz dan SMK Seri Perak manakala Syazaira pelajar tingkatan empat di Madrasah Idrissiah, Bukit Chandan, Perak.

Dia mendakwa plaintif-plaintif telah dipaksa belajar dan diajar bagi kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris tanpa kerelaannya sebagai bapa dan bapa-bapa pihak plaintif lain.

Yahamim: Belum terfikir untuk menyaman sesiapa.

Comments (0)

Dari SMS ke Blog


Mar 30

Saya bukan lagi pelajar UTM tetapi kelibat saya walau sekilas di UTM/KTC tetap dihidu oleh sahabat-sahabat. Lantas saya dijadikan sebahagian daripada usaha kempen mereka.

Sejak dahulu telah berkudis dan bernanah, setiap kali pesta konvokesyen mesti akan diadakan persembahan band dan nyanyian yang melalaikan. Bezanya hanya format dan kaedah persembahan, namun ia pasti ada. Golongan mahasiswa yang prihatin sentiasa menunjukkan bantahan mereka walaupun kecil.

Ini adalah SMS yang disebarkan di kalangan mahasiswa yang saya turut menerimanya, “Protes sampai batal. Kami bantah KONSERT 7 RYTHM OF THE CHAMPION dan PERTANDINGAN BULUH PERINDU di Pesta Konvokesyen UTM ke-42. Sebarkan kepada semua staff, pensyarah dan mahasiswa. Hantarkan ayat di atas ke 019-****** sebagai tanda bantahan.”

Nombor yang dinyatakan mungkin adalah milik pengarah pesta konvokesyen atau pengarah program.

Walau bagaimanapun program tetap berjalan. Oleh itu langkah seterusnya diambil iaitu mengedarkan fliers bantahan/mengutuk program tersebut semasa ia berlangsung. Mata-mata (SB) pula sedia dengan kamera untuk mengambil pelajar “derhaka” ini. Berani, memang berani.

Program ini telah dibantai teruk semasa khutbah Jumaat beberapa hari sebelumnya, namun ia tetap diteruskan.

Sangat menyedihkan kerana tempat intelektual seperti universiti dicemari dengan mentaliti bertaraf longkang begini.

SMS Kedua

SMS kedua pula lain bunyinya. Ada sangkut paut dengan isu penggantungan akhbar Harakah dan Keadilan selama 3 bulan.

“Mursyidul Am PAS mengarahkan semua penyokong Pakaran Rakyat (PR) agar memboikot serta-merta akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia sebagai tindak balas menteri KDN yang menggantung permit Harakah. Untuk itu, beliau mengesyorkan agar kita semua memperhebatkan saluran berita melalui SMS. Tanggungjawab bagi pengguna telefon bimbit, sebarkan! Allahuakbar! Daftarlah ON HARAKAH ke 77770 untuk langganan Harakah melalui SMS, hanya RM 5 sebulan. Terima kasih.” 

Dalam hal parti, saya tidak menyebelahi pihak tertentu. Saya bebas. Ini terkecuali pada isu-isu yang mempunyai kepentingan seperti PPSMI.

Lantaran tidak menyebelahi mana-mana parti, pernah seorang sahabat memberi ulasan di belakang saya yang berbunyi, “Hamim itu Melayu.”

Saya kurang pasti maksud sebenarnya tetapi saya tergelak besar dengan ulasan itu. Memang saya Melayu!

Kepada yang berkenaan baik mengaku dan tampil memberi penjelasan.

Yahamim: Mahu lihat Melayu bersatu.

Comments (5)

Pelajaran Berguna Dari Gaza


Mar 27

Bahan ini saya terima dari emel. Penulisnya tidak dapat saya kesan tetapi saya mohon jika penulisnya terbaca tulisan ini dapat menghubungi saya supaya saya dapat memohon izin secara rasmi.

Assalamualaikum,

Alhamdulillah malam semalam, Selasa 24.3.09 saya dapat mendengar penyampaian dari Puan Rasya Al Adlouni (Ummu Muhammad) yang merupakan isteri kepada As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi di Masjid Negeri Shah Alam.

Melihat kepada kekuatan ucapannya dengan suaranya yang begitu bersemangat sambil berdiri terasa seolah-olah yang berucap itu adalah As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi sendiri. Itulah tarbiyah yang telah dilaksanakan oleh Dr Abdul Aziz kepada isterinya yang akan meneruskan usaha-usaha dakwah dan jihad di Palestin walaupun beliau telah pergi menemui Allah swt dalam keadaan “Hidup Dan Mendapat Rezeki DariNYA”.

Puan Rasya Al Adlouni adalah simbol kegigihan wanita Gaza yang telah membuktikan bahwa semangat dan kekuatan wanita yang beriman benar-benar boleh kita jadikan contoh tauladan bagi kaum wanita di negara2 umat Islam lain. Walaupun umurnya sudah 55 tahun dan kini mempunyai 20 orang cucu, beliau masih mampu berdakwah dan menyampaikan kebenaran tanpa ditimpa oleh perasaan lemah dan gentar. Marilah
kita menelusuri jejak dan kekuatan wanita2 di Gaza yang sentiasa melahirkan pejuang2 dan mujahid2 yang akan membebaskan bumi Palestin dari penjajahan
Israel.

Inilah kisah sebuah bangsa di atas sejengkal Tanah Suci. Penduduk Syam yang merangkumi Palestin, Lebanon, Syria dan Jordan memang penduduk yang mempunyai sifat keteguhan. Banyak peristiwa yang pernah berlaku di sana dan akan banyak lagi yang kelak akan berlaku di sana di akhir zaman ini. Semua kita harus belajar dari peristiwa ini terutama umat Islam. Semua segi harus menjadi pelajaran termasuk dari sisi kemanusiaan sebagai wanita.

Tahun baru 2009 dimulai dengan kisah duka bagi umat Islam iaitu peperangan di Gaza. Pemandangan yang sangat memilukan. Namun Allah swt menjadikan peristiwa Gaza bukan sekadar untuk menjadi tontonan television dan bualan para wartawan untuk bulan tersebut.

Apa yang kita dengar dari berita:

1. Seorang ibu dari keluarga Samouni di Gaza melahirkan anaknya di tengah-tengah suasana pengeboman.

2. Seorang wanita mengatakan: “Tidak, tanah ini milik kami, apapun yang mereka lakukan tanah ini milik kami, kami akan tetap menentang mereka (Yahudi).”

3. Seorang wanita muda pergi ke kedai roti untuk membeli roti dan terpaksa beratur berjam-jam di tengah-tengah ledakan bom di Gaza. Ketika ditanya oleh wartawan mengapa ia tetap pergi ke kedai roti padahal ia dalam keadaan tidak selamat, ia menjawab: “Tinggal di rumahpun kami dibom sedangkan saya perlu membeli roti untuk keluarga di rumah, jadi saya perlu laluinya juga. kita hanya mati sekali.”

4. Selama 22 hari perang, Israel berjaya membunuh 600 orang anak-anak Gaza dari lebih 1,300 mangsa yang meninggal, tapi selama masa itu pula lahirnya 3,500 bayi baru. Ramai wanita Gaza yang melahirkan kembar samada kembar dua atau kembar tiga.

Sungguh luar biasa, hanya sehari sesudah kedua pihak menyatakan gencatan senjatanya masing-masing, polis lalu lintas sudah bertugas di jalan-jalan di Gaza, bahkan sekolah dibuka kembali kurang dari seminggu sesudah itu. Para murid saling menyapa ketika pertama kali berjumpa: “Hai kamu masih hidup ya?”

Wilayah ini sudah tidak mempunyai bangunan parlimen, tidak mempunyai balai polis (walaupun anggota polisnya bertugas) dan seluruh bangunan pemerintah sudah hancur dibom bahkan masjid-masjid dan hospital serta sekolah tidak luput dari pengeboman.

Infrastrukturnya boleh dikatakan sudah hancur tetapi ternyata struktur masyarakatnya tidak hancur, sistem sosialnya tidak terhapus bersama bangunan-bangunanny a. Solat berjamaah tetap dilaksanakan di tengah-tengah hujan bom di antara runtuhan bangunan dan masjid. Bahkan masjid mengumpulkan dana dari sebahagian jama’ah yang masih mempunyai sesuatu untuk disumbangkan kepada jiran tetangganya yang lebih memerlukan. Inilah sebuah bangsa yang mempunyai daya tahan yang amat tinggi.

Jangan lupa, sebelum peperangan, Israel sudah mencekik Gaza dengan sekatan selama hampir 2 tahun dan itu menyebabkan semua penduduk Gaza mengalami kekurangan makanan kerana sukarnya untuk mendapatkan bahan makanan di samping harganya yang melambung tinggi.

Dengan berita-berita seperti di atas kita telah mendapatkan gambaran betapa anak-anak Palestin dari generasi ke generasi telah ditempa oleh ujian berat dengan pelindung mereka yang tetap teguh yang terdiri dari para ibubapa terutama para ibu yang tetap menggenggam prinsip kesabaran di tengah-tengah ujian yang amat berat itu.

Kita boleh meninjau beberapa kriteria yang menambah kesabaran mereka iaitu:

1. Tidak lemah mental mereka
2. Tidak lemah penampilan mereka
3. Tidak lemah aktiviti mereka

Dari berita-berita yang diterima, para wanita Gaza tidak lemah mental mereka dan tidak akan mengalah kepada penjajah Israel, di mana kebanyakan mereka berpandangan bahwa perjuangan menentang penjajahan tetap akan diteruskan. Tidak ada yang gementar ketakutan ketika mendengar deruan pesawat pengebom di atas kepala mereka. Jika ditanya, mereka berkata dengan nada tegas bahwa mereka tidak
takut kepada tentera Israel dan akan melawan dengan senjata alat dapur, jika berhadapan secara terus. Inilah di antara tanda tidak wujudnya kelemahan mental di kalangan mereka.

Selain itu mereka tidak lemah penampilan di mana nampak jelas bahwa mereka tetap tegak ketika diwawancara oleh para wartawan, bahkan mereka masih boleh menyuarakan kekecewaan mereka kepada para pemimpin Arab yang tidak membantu mereka. Bahkan ada yang menunjukkan tangan ke arah kamera. Sikap tubuh mereka jelas menunjukkan bahwa mereka tidak lemah penampilan walaupun sesetengahnya dalam keadaan cedera dan menanggung kesakitan.

Mereka juga tidak lemah dalam aktiviti mereka di mana walaupun tersisa sedikit kesempatan, mereka terus menjalankan aktiviti mereka samada ke pasar berjual beli, memakamkan ahli keluarga dan kerabat sehingga sempat pula bersilaturahim sesama saudara mereka di pasar. Di tengah-tengah aksi pengeboman, mereka sanggup beratur untuk membeli roti dengan mempertaruhkan nyawa mereka. Bahkan ada
seorang ibu yang melahirkan anak di tengah-tengah pengeboman dengan hanya dibantu oleh ibunya dengan menggunakan lilin di malam hari.

Berikut adalah beberapa kesimpulan yang dapat dibuat:

1. Wanita Gaza adalah wanita yang sabar, ujian apapun yang menimpa tidak membuatkan mereka gentar ketakutan berbeza dengan wanita Yahudi di Selatan Israel yang sehingga perlu dibawa ke hospital kerana “stress” atau tekanan mental menghadapi roket2 Hamas.

2. Ketabahan mereka ternyata didasari oleh iman dan ketaqwaan kepada Allah swt. Kita melihat mereka mengekang perasaan kesedihan mereka dengan berdoa mengangkat tangan kepada Allah swt mengutuk kekejaman Israel ketika menghadapi keadaan di mana rumah mereka hancur dan ahli keluarga yang terkorban.

3. Kuatnya keganasan dan permusuhan Yahudi justeru membuatkan mereka tetap tegak, teguh dan menentang. Penentangan wanita Gaza bukan dengan mengangkat senjata, tetapi dengan menunjukkan keteladanan dalam sikap berani menghadapi kenyataan peperangan yang keras dan kejam ini di hadapan anak-anak mereka.

Nampak dari raut wajah mereka yang meskipun terurai dengan airmata tapi tetap berwajah tegar manakala anak-anak mereka menatap setiap bentuk bahasa badan ibu-ibu mereka.

Pendidikan apa lagi yang terbaik dan paling efektif selain dari pendidikan menzahirkan keteladanan dalam kesabaran?.

Cubalah kita amati bahasa tubuh mereka ketika diwawancara oleh para wartawan, baik semasa perang mahupun sesudahnya di mana keadaan mereka cukup tenang ketika menceritakan pengalaman mereka.

Kaum wanita di Gaza tidak sesekali menyukai peperangan, namun jika peperangan merupakan takdir bagi bangsanya, kaum wanitalah yang memikul beban berat sebagai mangsa korban. Merekalah yang pertama sekali merasakan sukarnya hidup seharian di tengah-tengah suasana perang bermula dari persoalan mencari keperluan sehari-hari hingga kepada usaha menenangkan anak-anak mereka yang ketakutan.

Belum lagi ditambah dengan jumlah mangsa korban utama sebagaimana di Gaza ini kerana senjata perang Israel sentiasa mengejar wanita dan anak-anak walaupun di tempat-tempat penginapan mereka..

Bagi bangsa yang terjajah dan dizalimi seperti ini, masa depan bangsanya terletak di bahu mereka. Kaum wanita Gaza tidak seharusnya menunjukkan kelemahan mental, ketakutan yang menimbulkan perasaan menyerah kepada musuh atau kelemahan aktiviti yang menyebabkan mereka tidak lagi dapat bergerak menjalani kehidupan mereka.

Jika sikap-sikap kelemahan tersebut yang dilihat oleh anak-anak mereka pada hari ini, maka kita dapat bayangkan bahwa dalam masa 10 tahun ke hadapan, wilayah yang sekarang ini bernama Gaza mungkin akan berdirinya bandar-bandar pelancongan Israel dengan nama Yahudi sebagaimana nama Ashdod, Ashkelon, Sderot, Kiryat Shimona dan lain-lain.

Ini kerana jika mereka (kaum wanita Gaza hari ini) lemah, maka anak-anak mereka akan tumbuh menjadi penakut dan mempunyai sikap mudah menyerah tetapi Alhamdulillah sekarang mereka tetap teguh dan InsyaAllah sampai hari Qiamatpun bangsa Yahudi tidak akan dapat merasa tenang dengan kezalimannya kerana akan sentiasa ada yang menentang mereka dari satu generasi ke generasi Palestin yang
baru.

Inilah yang seharusnya kita belajar daripada mereka.
WAS

Yahamim: Setiap perkara adalah pelajaran berguna.

Comments (0)

Blog Pilihan


Mar 26

Ikuti sorotan dan ulasan Tuan Mohamed Idris mengenai bahasa dan PPSMI. Antara nasihat beliau yang bagus untuk direnung adalah jangan salahkan bahasa apabila kita gagal. Kita diberikan ruang dan peluang untuk berusaha. Yang penting adalah usaha kita menangani cabaran itu. 

Beliau menyifatkan dirinya sebagai berikut, “I’m someone who is deeply interested in and concerned with the world language system. “

Yahamim: Salahkan diri sendiri apabila gagal.

Comments (2)

Secara Halus Menyokong


Mar 25

Pagi ini perhimpunan bulanan telah diadakan di tempat kerja saya. Pengisian utama adalah seperti biasa, ucapan daripada tuan ketua pengarah. Banyak isu yang dinyatakan, antaranya adalah kepentingan menguasai bahasa Inggeris.

Beliau ada menyentuh isu PPSMI dan bahasa Inggeris. Ia tidak disentuh dengan panjang lebar atau secara khusus. Namun saya sangat cermat mendengarnya.

Beliau meminta para pekerja berhati-hati jika menyertai perhimpunan seperti itu (Perhimpunan 100 Ribu Menentang PPSMI 7 Mac). Jangan sampai tertangkap kerana panjang ceritanya kelak.

Beliau memuji Dato’ Dr. Hassan Ahmad, iaitu pengerusi GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) yang mampu berucap dengan baik dalam bahasa Inggeris. Turut dipuji Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang mampu menulis karya bahasa Inggeris dengan baik.

Beliau sangat memahami perjuangan GMP dan menyatakan ia adalah agenda yang sangat halus serta mempunyai prinsip tersendiri.

Namun secara keseluruhan saya tidak dapat memastikan apa pendirian tuan ketua pengarah saya itu tentang dasar PPSMI.

Yahamim: Pendirian saya sangat jelas iaitu menentang dasar PPSMI.

Comments (2)

SMS Yang Mengejutkan


Mar 24

Katakan anda sudah beberapa ketika tidak balik kampung dan agak jarang menelefon ibu bapa di kampung. Sekaligus tidak sempat menitipkan duit belanja buat mereka yang kini sudah tidak bekerja.

Apa perasaan anda apabila menerima SMS yang berbunyi, “Emak suruh belikan ubat cairkan darah. Ubat emak sudah habis.”

Nombor yang tertera tidak dikenali. Timbul beberapa persoalan di benak tiba-tiba.

“Terdesak sangatkah adik aku sehingga terpaksa meminjam telefon bimbit orang lain untuk mengkhabarkan berita emak di kampung?”

“Apakah ibu bapa sedang kesempitan?”

“Mengapa aku tidak tahu emak ada penyakit sedangkan selama ini sihat walafiat.”

SMS ini benar-benar saya terima petang tadi apabila balik dari tempat kerja. Saya segera menelefon kembali nombor yang tertera. Alhamdulillah rupa-rupanya si penghantar tersilap hantar. Lapang sangat dada ini.

Saya sebenarnya sudah hampir menitiskan air mata sebelum itu. Malam ini juga saya akan balik kampung jika berita itu benar. Berdosa benar rasa diri ini jika sesuatu yang buruk berlaku tanpa saya bertindak apa-apa.

Dalam hati saya memanjatkan doa, “Ya Allah ya tuhanku, ampunilah diriku dan kedua-dua ibu bapaku. Kasihanilah diri mereka seperti mereka mengasihiku sewaktu kecil. Amin ya rabbal alamin.”

Yahamim: Hargailah ibu bapa dan keluarga.

Comments (2)

Apa Yang Dibualkan Sebelum Tidur?


Mar 21

Tiba-tiba timbul soalan dalam fikiran, apakah yang dibualkan oleh orang lain sebelum mereka tidur? Ketika sudah terbaring di atas tilam, bantal yang lembut ditepuk-tepuk, gebar pula ditarik, mesti ada yang dibualkan walaupun sekadar perancangan hari esok.

  • Bagi yang sudah berkahwin, apakah yang dibualkan sebelum tidur?
  • Bagi yang berkeluarga, apa yang dicecehkan?
  • Bagi pelajar, apa pula topik mereka?
  • Bagi perempuan, apa yang digosipkan?
  • Bagi lelaki, isu negara yang manakah yang didebatkan?

Mungkin anda ada pengalaman sendiri. Sila kongsikan di bahagian komen.

Yahamim: Sekarang suka bincang isu mansuhkan PPSMI. Anda?

Comments (2)

Tulisan Jawi


Mar 20

Sudah agak lama saya tidak menulis jawi. Cuba lihat pantun yang dalam tulisan jawi di bawah dan tulis dengan rumi di bahagian komen. Mungkin juga ada kesilapan kerana perubahan kaedah penulisan. Minta tunjuk ajar.

dsc01498

Yahamim: Nama saya boleh ditulis dengan dua huruf sahaja; ha dan mim.

Comments (3)

Saya Sahut Cabaran Itu


Mar 20

Apabila dasar PPSMI dimansuhkan (saya sangat optimis), kita akan berhadapan dengan cabaran baru. Antaranya ialah memenuhi keperluan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ilmu ini meliputi agama, sains, teknologi, motivasi dan sebagainya.

Saya sahut cabaran itu melalui blog Laungan Bergema Ha.Mim.Ya.Mim. Oleh itu, pengkhususan blog tersebut akan berubah, dengan lebih tepat lagi pengkhususannya bertambah. Antara yang boleh saya senaraikan adalah seperti di bawah:

  1. Ulasan buku (pengkhususan sedia ada).
  2. Pengetahuan tentang harta intelek terutamanya paten.
  3. Ilmu berkaitan reka cipta.
  4. Isu semasa berkaitan perkara di atas.

Pada masa akan datang mungkin senarai akan berubah atau bertambah mengikut kesesuaian.

Prinsip saya mudah, setiap orang menyumbang bahagian masing-masing mengikut kepandaian atau kepakaran. Akhirnya lengkaplah ilmu itu.

Harapan saya, semoga usaha kecil ini mendapat keberkatan daripadaNya, Insya Allah.

Yahamim: Suka menyahut cabaran.

Comments (1)