Didatangi Pontianak
Feb 05
Bagi warga Kuala Lumpur yang gemar membeli-belah dengan harga yang murah pasti mengenali tempat seperti Up Town Danau Kota, Jalan Petaling dan Masjid India. Kunjungan saya ke Sarawak hujung Januari lalu menemukan saya dengan tempat yang serupa di sana, Serikin.
Bezanya Serikin dengan tempat-tempat yang dinyatakan di atas adalah ia hanya dibuka pada hujung minggu sahaja. Peniaga-peniaganya pula dari Pontianak, Kalimantan.

Saya lebih gemar berbual-bual dengan peniaganya berbanding melihat barangan yang dijual. Saya sibuk bertanya asal mereka, sumber barang yang dijual dan banyak lagi.
Yang mengkagumkan saya mereka ini datang membawa barang jualan hanya dengan menaiki bas. Dari stesen bas ke Serikin pula barangan ini diangkut dengan menaiki motorsikal (saya lupa istilah yang dipakai). Pada hari itu 1/4 gerai kosong kerana kawasan mereka dilanda banjir. Ada sebahagian tempat banjir separas dada.
Bahasa percakapan mereka sama dengan orang Malaysia di semenanjung. Ini diakui sendiri oleh mereka dan saya sendiri mendengar bagaimana mereka bercakap. Bezanya mereka dipengaruhi oleh slanga Indonesia.
Kalam dan Sendu
Sempat saya membeli beberapa helai kain untuk adik-adik saya. Sedang saya sibuk bertanya kesesuaian warna kain yang dijual, penjual itu menggunakan perkataan yang saya kira lain cara penggunaannya.
Kata penjual itu, “Kain ini bagus, warnanya kalam.”
Dahi saya berkerut. “Kalam itu apa?”
Penjual tersebut membalas, “Kalam itu sendu.”
Saya cuma tertawa. “Saya tidak fahamlah.”
Penjual itu terdiam untuk mencari perkataan yang sesuai. Saya cuba meneka, “Maksud kamu, warna-warna yang tidak terlalu menarik perhatian.”
“Ya, itulah maksud saya.”
Kasut ABRI
Bagi lelaki, jika mengunjungi Serikin mungkin boleh mempertimbangkan untuk membeli kasut yang dipakai oleh Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI). Kasut ini biasanya dipakai oleh polis dan tentera Indonesia. Kualitinya bagus dan harganya sebelum ditawar hanya RM 35. Saya sudah memakainya dan nyaris membelinya tetapi tidak jadi kerana saya yakin suatu hari saya akan kembali lagi ke situ.
Yahamim: Tidak pernah jumpa Pontianak.



Akademi Latihan Penerbitan PTS
Puan Ainon Mohd (Sifu PTS)
Irhafiz