Salam Ya Hamim


Mahu Layanan Setimpal


Feb 03

Kajian mendapati pihak yang berasa dirinya tidak menerima layanan setimpal lebih cenderung memulakan konflik dan tidak mahu mengalah. Disebabkan kebanyakan isteri berasa mereka tidak dilayan dengan setimpal, kajian mendapati perempuan lebih banyak memulakan konflik daripada lelaki. Motif perempuan memulakan konflik ada lah bagi mendapatkan layanan yang lebih setimpal daripada suami.

Sumber: Facebook Puan Ainon

Yahamim: Mahu beri layanan setimpal

Comments (0)

Surat Terbuka Untuk Cikgu Ha


Feb 01

Surat ini dikirim oleh Cik Puan Haniza melalui emel di akaun Facebook khusus untuk Cikgu Ha.

Salam ta’zim dari saya.

Sekalung ucapan terima kasih atas undangan dan kiriman kad majlis walimatul ‘urus tuan.

Saya mendoakan semoga Allah memberkati dan mengurniakan kebahagian kepada tuan dan bakal isteri. Semoga berkekalan hingga ke akhir hayat dan mudah2an bersua kembali tuan berdua disyurga nanti. Dan didoakan juga moga tuan beroleh zuriat yang soleh dan solehah penyambung risalah baginda Nabi.

Kesyukuran juga saya panjatkan kepada Allah kerana tuan akan mendirikan rumahtangga dengan insan yang baik. Semoga kebahagiaan menjadi milik tuan berdua bersama keluarga.

Sedikit pesanan dari insan yang kurang ilmunya, teruslah mendidik dengan bahasa bersendi agama. Cantiknya insan dengan bahasa yang indah, dengan agama yang dihayati. Luhur cinta kepada agama bersendi budi.

Salam kasih setampuk sireh,
Sirih dimakan bersama pinang,
Moga rumahtangga tuan dilimpahi kasih,
Rahmat dan cinta terus dari Allah yang Maha Penyayang.

Semoga majlis tuan berjalan lancar dan diberkati ALLAH jua..

Assalamu’alaikum wmt.

Yahamim: Bahasa yang indah umpama air yang mengalir tenang.

Comments (1)

Cikgu Ha Dibius Cinta


Feb 01

Rupa-rupanya sifat kalis provokasi cinta yang dimiliki Cikgu Ha tidak sekuat mana. Akhirnya Cikgu Ha kalah dengan perasaan sendiri. Cikgu Ha akur juga yang penulis dapat menghidu yang beliau bakal mendirikan rumah tangga. Walau apa pun penulis puji sikap Cikgu Ha yang tidak menjaja cerita peribadi. Apabila semuanya sudah sahih baru dia buka mulut bercerita.

Tarikh perkahwinan Cikgu Ha sudah hampir sangat. Menghitung hari orang kata. Penulis ingin tahu apa dalam fikirannya sekarang. Penulis melontarkan pertanyaan, “Bagaimana perasaan kamu sekarang?”

Cikgu Ha menelan air liur dan berfikir panjang. “Sebulan yang lepas, memang pelbagai perasaan yang melanda. Ada keliru, ada libang-libu, ada juga haru-biru.”

Penulis tekun mendengar. Penulis menoleh sekilas wajah Cikgu Ha yang semakin naik serinya.

Cikgu Ha menyambung, “Alhamdulillah sekarang semua perasaan itu sudah reda. Saya tenang sedikit. Saya seperti dibius.”

Penulis mengangkat kening, “Dibius?”

“Keadaan saya seperti orang yang akan menjalani pembedahan. Mula-mula memang takut tetapi apabila hampir masa dibedah, kita akan dibius. Oleh itu kita berasa kebas dan apabila dibedah nanti tidak sakit sangat.”

“Begitukah?”

“Saya hanya perlu tenang dan yakin kepada doktor dan pembantu perubatan. Mereka buat yang terbaik untuk saya. Dalam situasi saya yang bakal berkahwin, di sekeliling saya ada keluarga dan sahabat handai. Asal saya dan bakal pasangan bersedia, mereka juga sedia membantu apa yang terdaya.”

Penulis tersandar. Hebat juga analogi yang diberikan oleh Cikgu Ha. Maklum sahaja, bekas guru memang panjang akal dan tajam fikirannya.

Yahamim: Kebas dibius.

Comments (6)

Kahwin


Jan 29

Berikut disenaraikan kata “kahwin” dalam ungkapan Melayu

Kahwin-mawin maksudnya berbagai-bagai jenis kera­maian perkahwinan.

Kahwin lari maksudnya perkahwinan (pernikahan) pasangan lelaki dengan wanita (biasanya suka sama suka) yang dilakukan di tempat lain tanpa disaksikan ataupun direstui oleh kaum keluarga.

Kahwin gantung maksudnya kahwin atau nikah yang sudah sah di sisi agama tetapi kedua-dua suami isteri belum tinggal bersama.

Kahwin andar maksudnya kahwin dengan seseorang dengan tidak mengeluarkan apa-apa belanja.

Kahwin paksa maksudnya kahwin tidak dengan suka hati sendiri (kerana desakan, ugutan, dan lain-lain).

Cincin kahwin maksudnya cincin yang diberikan oleh suami kepada isteri pada waktu perkahwinan.

Hantaran kahwin maksudnya wang yang dihantar oleh pihak lelaki kepada bakal mentua bagi perbelanjaan perkahwinan, belan­ja hangus.

Mas kahwin maksudnya pemberian wajib yang berupa wang, al-Quran dan sebagainya oleh pengantin lelaki kepada pe­ngantin perempuan semasa upacara akad nikah, mahar.

Yahamim: Mahu kahwin sukarela.

Comments (3)

Pesan Bestari


Jan 29

Air kalau jernih di hulu pasti jernih di kuala.

Hujung akal itu fikir, pangkal agama itu zikir-Hamka.

Yahamim: Fikir guna akal.

Comments (0)

Kaparinyo


Jan 27

Kata ‘kaparinyo‘ bermaksud apa khabarnya. Kata ini adalah kata dalam bahasa Minangkabau.

Orang berinai berhitam kuku,
Mandi dijirus si air mawar;
Jikalau sampai hasrat hatiku,
Racun ku minum jadi penawar.

Belum tersurat dalam hikayat,
Ayam keluar mencari musang;
Belum tersirat di dalam adat,
Bunga keluar mencari kumbang.

Semenjak lembah bertambah dalam,
Nampaknya gunung tinggi bertuah;
Semenjak sejarah Hawa dan Adam,
Alam berkembang berubah-ubah.

Hasrat nak beli dulang bertepi,
Barulah molek untuk hidangan;
Hajat nak cari yang sama sehati,
Barulah molek makan sepinggan.

Sungguhlah harum si bunga tanjung,
Hati nak petik si bunga mawar;
Rindu dan dendam tidak tertanggung,
Budi setitik jadi penawar.

Sungguh melati senang dipetik,
Harumnya mashyur seluruh alam;
Sungguhpun budi hanya setitik,
Langit dan bumi ada di dalam.

Yahamim: Sihat selalu.

Comments (3)

Seri di Wajah Cikgu Ha


Jan 25

Agak lama penulis tidak berkongsi cerita tentang Cikgu Ha kepada para pembaca sekelian. Masih ingat pada Cikgu Ha? Alah, bekas cikgu tuisyen yang wajahnya cantik tidak tetapi manisnya ada (dialog P. Ramlee). Penulis memang suka mengusik Cikgu Ha tentang pasangan hidup dan jodoh. Dengarnya ada berita hangat tentang Cikgu Ha. Berita apakah itu?

Penulis sempat mengusik Cikgu Ha, “Dengarnya ‘darah manis’, betulkah?”

Reaksi Cikgu Ha macam biasa, mengulum senyum bergula (kali ini senyum bermadu). Cikgu Ha memang kalis provokasi.

Penulis cucuk jarum lagi, “Dengarnya sekarang sedang sibuk membeli itu ini, sibuk ke sana dan ke sini. Ada perkara besar agaknya.”

Cikgu masih senyum bergula. Penulis rasa mahu cubit-cubit Cikgu Ha kerana geram soalan yang tidak berjawab. Teringin juga penulis menggigit lehernya bak drakula, penulis mahu tahu benarkah darah Cikgu Ha manis bagai dikata.

Akhirnya Cikgu Ha bersuara, “Tanyalah Ucuk. Dia tahu semuanya.”

Berpinar-pinar kepala penulis. “Siapa Ucuk?”

Jeng jeng jeng.

Yahamim: Mula mencari siapa Ucuk.

Comments (2)

Tidak Setuju Dengan “Ulat Buku”


Jan 06

Ada pencinta buku yang tidak setuju dengan simpulan bahasa “ulat buku” yang bermaksud orang yang gemar membaca. Mungkin dalam kepala beliau terganggu dengan istilah “ulat” yang kebanyakannya negatif.

- Ulat lupakan daun iaitu lupa akan budi baik orang.

- Bagai melihat ulat iaitu sangat benci. Berulat mata melihat membawa maksud yang sama.

- Korek lubang ulat iaitu mencari perselisihan.

- Menggeletik-geletik bagai ulat nangka iaitu sangat gelisah. Terloncat-loncat bagai ulat pinang juga membawa maksud yang sama.

Mungkin juga perkara yang paling menyakitkan hati beliau adalah ulat tiket yang berleluasa di stesen bas terutamanya pada musim perayaan. Namun masih banyak peribahasa Melayu mengenai “ulat” yang positif.

- Ulat dalam batu pun hidup juga iaitu orang yang rajin berusaha tidak akan mati kelaparan.

- Bagai ulat nangka terhempas ke batu iaitu tidak serik.

- Bagai dekan di bawah pangkal buluh iaitu pandai menyembunyikan rahsia. (dekan = ulat yang makan buluh.)

Yahamim: Tidak lalu makan ulat.

Comments (0)

Buku Dalam Ungkapan Melayu


Nov 23

saya-mahu-hadiah-PTS_kotak

Buku lima maksudnya a. genggaman tangan. b. sj senjata drpd besi yg digenggam apabila menggunakannya.

Ulat buku maksudnya seseorang yang sangat rajin membaca buku.

Buku bertemu ruas maksudnya sesuai, seimbang; lelaki perempuan yang sudah memang jodohnya.

Kata orang arif, “Apabila engkau mendapat wang, belikan emas; jualkan emas itu, belian intan; jualkan intan, belikan manikam; jualkan manikam, belikan buku (ilmu).”

Yahamim: Suka baca, tulis dan edit buku.

Comments (0)

Bijak Berkreatif Cara Yoshiro Nakamats


Nov 22

saya-mahu-hadiah-PTS_kotak

Dr. Yoshiro Nakamats adalah salah seorang inventor atau pereka cipta Jepun yang berjaya. Sehingga kini beliau memegang hak paten terhadap reka ciptanya yang berjumlah lebih 3,000 paten. Beliau masih sihat dan aktif mereka cipta.

Beliau mempunyai cara tersendiri bagi mencetus kreativiti.

1. Static Room

Sebelum memulakan kerja, beliau akan masuk ke static room. Keadaan bilik itu sangat tenang dan senyap. Ia hanya dipenuhi dengan unsur-unsur semula jadi seperi batu-batu sungai, air yang mengalir dan pokok, tiada besi dan konkrit. Ini membolehkannya menenangkan fikiran supaya ilham baru mudah datang.

2. Dynamic Room

Selesai di static room, beliau beralih ke dynamic room. Bilik ini gelap dengan cat berbelang hitam-putih dan perabot kulit. Di sini beliau memasang peralatan khas audio dan video. Dipasang juga speaker khas dengan julat frekuensi 12 hingga 40 kHz. Beliau akan mendengar muzik jazz kemudian beralih ke muzik yang easy listening. Sesi ini wajib ditutup dengan lagu Beethoven’s 5th Symphony.

3. Creative Swimming

Beliau sangat gemar berenang dan itu dijadikan salah satu rutin kreatifnya. Bagi beliau, otaknya benar-benar terangsang dan teruja apabila menyelam ke dasar kolam. Idea-idea yang datang dicatat dengan munggunakan alat tulis yang dinamakan plexiglas. Ia adalah ciptaannya khasnya sendiri.

Yahamim: Suka dengan idea kreatif.

Comments (0)